Stesen Penyelidikan

BIOTAPAK

12 Biotapak

MENU

Facebook

Stesen Penyelidikan Alami Biodiversiti (SPAB) adalah aspirasi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi menterjemahkan iltizam kerajaan negeri Terengganu untuk menjadikan Kenyir sebagai destinasi pelancongan alam semulajadi terunggul di rantau ini iaitu sebagai wilayah pembangunan luar bandar contoh daripada perspektif kelestarian alam dan kesejahteraan masyarakat.

Terletak di Jalan Pengkalan Utama, Hulu Terengganu, Terengganu, SPAB menempatkan 16 buah bilik Asrama dan 6 Rumah Tamu untuk penyelidik dan pelajar, serta pensyarah dan kemudahan penyelidikan lain seperti auditorium, makmal, bilik kuliah dan lain-lain lagi.

Penempahan boleh dibuat melalui Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan, Universiti Malaysia Terengganu pada waktu pejabat (Ahad-Khamis, 9 pagi- 5 petang) di talian 09-6683998. Bayaran sewa mengikut kadar yang ditetapkan, termasuklah Asrama, Rumah Tamu, auditorium dan lain-lain kemudahan. Surau dan tandas awam termasuklah untuk orang kurang upaya juga disediakan dengan percuma.

Dibangunkan sebagai santuari tenggiling (Manis javanica). Di Tasik Kenyir, haiwan ini dikategorikan sebagai spesies yang sangat terancam dan perlu dilindungi dengan segera. Kaya dengan pelbagai spesies semut yang menjadi makanan utama haiwan ini, Tasik Kenyir menjadi habitat yang ideal untuk haiwan ini. Tenggiling biasanya mencari makanan di atas tanah, pada dahan pokok atau di dalam lubang pokok. Antara spesies yang menjadi makanan kepada Manis javanica adalah Anoplolepis gracilipes, Oecophylla smaragdina, Crematogaster sp, Diacamma sp, Dolichoderus sp dan telur spesies Camponotus gigas.

Pemangsa semula jadi haiwan ini adalah harimau, ular sawa dan harimau bintang. Walau bagaimanapun, sama seperti mamalia lain yang dibincangkan di atas, ancaman terbesar kepada Manis javanica adalah kemusnahan habitat dan pemburuan haram. Tenggiling diburu untuk mendapatkan daging dan sisiknya yang dikatakan mempunyai potensi perubatan.

Oleh itu, tujuan stesen penyelidikan dimajukan adalah untuk melindungi populasi haiwan ini daripada diancam kepupusan. Selain santuari tenggiling, stesen penyelidikan juga akan dilengkapi oleh makmal penyelidikan, galeri biodiversiti interaktif serta kemudahan asas seperti perumahan untuk kakitangan, asrama untuk pelajar (kapasiti 50 orang) dan tapak kem (kapasiti 200 orang), untuk kegunaan universiti tempatan dan antarabangsa, sekolah dan institusi lain. Stesen ini dijangka menjadi tarikan pelancong kerana makmal menyediakan pelancong untuk berinteraksi dan melihat saintis menjalankan penyelidikan melalui “meja tinjau”, interkom dan mikrofon.

LOKASI

KEUNIKAN

SPAB mempunyai kemudahan penginapan untuk penyelidik, pensyarah dan pelajar yang boleh digunakan untuk pembelajaran dan pengajaran, serta penyelidikan biodiversiti. SPAB juga mempunyai kemudahan lain seperti surau, kafeteria, auditorium dan jeti yang menempatkan bot UMT dan memberi kemudahan logistik untuk penyelidikan dan pengajaran di kawasan Tasik Kenyir. Selain itu, SPAB juga dikelilingi khazanah alam seperti ekosistem hutan dan sungai.