Tentang Kami

Tasik Kenyir terletak dalam daerah Hulu Terengganu, Terengganu dibatasi oleh latitud 4.70° – 5.20° N dan longitud 102.50° – 103.10° E merangkumi sebahagian daerah Hulu Terengganu. Sempadan Geopark ini ialah sempadan mukim di dalam daerah Hulu Terengganu iaitu Mukim Hulu Terengganu, Mukim Tersat, Mukim Kuala Berang, Mukim Jenagur, dan Mukim Hulu Telemung.

Luas kawasan Kenyir Geopark ialah 2,449 km persegi, meliputi sebahagian daerah Hulu Terengganu.

 

Keterangan Logo Kenyir Geopark

Illustrasi Burung Kenyalang yang sinonim dengan “Kenyir Hornbill Valley”. 9 daripada 10 spesis burung ini dapat dilihat dengan mudah di Tasik Kenyir.

Kenyirus Sodhi merupakan siput daratan baru di Malaysia yang dijumpai di Tasik Kenyir. Kenyirus Sodhi menjadi simbolik bagi sistem biodiversiti di Tasik Kenyir.

Illustrasi elemen air atau tasik yang merupakan komponen terpenting dalam membentuk Tasik Kenyir sebagai sebuah tasik buatan manusia.

WARNA HIJAU

Warna identiti alam semulajadi yang melambangkan kesegaran, ketenangan, kedamaian dan relaksasi.

WARNA KUNING

Warna yang memberi kesan kegembiraan, ketenangan dan keceriaan dari sudut psikologi. Ia menggambarkan keadaan seseorang setelah berkunjung ke Tasik Kenyir.

Kepelbagaian Fosil

Geotapak Bukit Bewah

Kewujudan fosil di dalam kawasan Tasik Kenyir kebanyakannya tertumpu di dalam batu kapur yang membentuk Bukit Bewah dan Taat yang berusia 270 juta tahun dahulu. Fosil-fosil utama yang lazim ditemui adalah Foraminifera (Parafusulina gigantea, Pseudodoliolina sp., Pseudofusulina sp., Verbeekina sp., Globivalvulina sp., Schwagerina sp., Climacammina sp., Agathammina sp. dan Schubertella sp.) karang (Amygdalophyllum sp., Lithostrotion sp., Yatsengia sp. dan Pseudohuangia sp.) gastropod, sefalopod dan Kepah gergasi (Shikamaia sp.).

Fosil mikro radiolaria pernah dikesan wujud dalam rijang dalam penemuan di Sungai Kerbat dan di dalam klas rijang yang membentuk konglomerat di Sungai Mentong (Chow, 2001). Serpihan fosil tumbuhan (pakis) juga wujud di dalam batuan syal berkarbon di Sungai Arang. Cengkerang brakiopod juga pernah dilaporkan wujud di dalam batuan syal kelabu kekuningan dalam singkapan di anak Sungai Terengganu.

 

Gunung Gagau

Ekspedisi Jura-Kapur 2014 telah berjaya menemui fosil gigi, fosil kesan tapak kaki serta fosil kesan korekan organisma (burrow) atau dikenali sebagai Scoyenia di Sungai Chichir. Selain itu banyak fosil kayu dan serpihan tumbuhan ditemui dalam lapisan batu pasir di kawasan kajian. Pebel kayu terpetri dalam batuan konglomerat di Sungai Pertang, Kelantan. Fosil-fosil tersebut telah ditemui dalam unit batuan Batu Pasir Lotong. Fosil gigi ditemui dalam bongkah konglomerat, fosil kesan tapak kaki ditemui di atas permukaan bongkah batu pasir, sementara kemungkinan fosil tulang dan serpihan tulang dinosaur ditemui dalam batu pasir kemerahan di tebing sungai dan juga dalam bongkah-bongkah batu pasir di Sungai Chichir.

Fosil flora yang ditemui adalah dalam bentuk serpihan tumbuhan (plant fragments) samada batang atau pun daun tumbuhan. Kebanyakan fosil serpihan tumbuhan yang ditemui telah bertukar menjadi unsur karbon dan berwarna hitam. Dalam lapisan batuan terluluhawa tinggi, fosil serpihan tumbuhan telah mengalami penggantian oleh oksida besi.

Karang

Struktur Karang

Fosil Fusulinid

Parafusulina

Kerangka Bivalvia Gergasi

Kerangka Bivalvia Gergasi

Bongkah Konglomerat

Fosil Gigi Dinosaur

Fosil Serpihan Tumbuhan

Pengisytiharan Kenyir Geopark dapat meningkatkan tahap kesedaran komuniti terhadap kepentingan memelihara fosil flora dan fauna ini dan secara tidak langsung dapat melindungi dan memelihara fosil yang sangat berharga ini daripada dimusnahkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. 

Geografi Fizikal

Kawasan Geopark Kenyir dibahagikan kepada sekitaran daratan dan sekitaran tasik. Persekitaran daratannya dicirikan oleh kawasan berbukit bukau dan pergunungan yang membentuk kawasan tadahan utama. Puncak-puncak tertinggi di dalam kawasan tadahan di antaranya adalah Gunung Gagau, Gunung Gajah Terom, Gunung Bongsu dan Gunung Tembat. Kawasan lembah dan tanah rendah pula kesemuanya telah ditenggelami oleh air tasik sementara puncak-puncak bukit separuh tenggelam membentuk rantaian pulau-pulau yang sangat indah. Kawasan sempadan geopark juga melibatkan kampung-kampung sekitar tasik sehingga ke bandar terdekat di mana ia berada di dalam 5 mukim utama iaitu Mukim Hulu Terengganu, Mukim Tersat, Mukim Kuala Berang, Mukim Jenagur dan Mukim Hulu Telemung.Tasik Kenyir adalah tasik buatan manusia yang dibina khusus untuk menampung bekalan tenaga elektrik ke Semenanjung Malaysia. Pembinaan empangan Tasik Kenyir mengambil masa selama 15 tahun bermula dengan perancangan awal sehingga siapnya empangan tersebut pada 1986.

Biodiversiti

Kepelbagaian biologi di Kenyir Geopark dicirikan oleh species tumbuhan, binatang, mikro-organisma yang wujud di ekosistem Kenyir Geopark. Ianya dicirikan oleh dua ekosistem iaitu ekosistem alami dan ekosistem buatan. Ekosistem alami yang terdapat di dalam wilayah Kenyir Geopark adalah ekosistem sungai, pergunungan dan daratan. Manakala keunikan Kenyir Geopark dicirikan oleh ekosistem buatan, iaitu tasik terbesar di Asia Tenggara yang berfungsi sebagai empangan hidroelektrik. Ekosistem ini mempunyai 340 buah pulau yang sangat unik.

Demografi

Kawasan cadangan geopark, Kenyir Geopark merangkumi 49 kampung yang didiami oleh 16,119 orang penduduk dengan pecahan seramai 8,084 orang lelaki dan 8,035 orang perempuan. Kampung Tengkawang mempunyai jumlah penduduk paling ramai (1,034 orang), diikuti Kampung Felcra Bukit Kepah (966 orang) dan Kampung Kepah (811 orang). Dari segi komposisi bangsa, 100 peratus penduduk adalah berbangsa Melayu (Data e-Merah, 2014). Perkampungan Orang Asli Semoq Beri dan Bateq di Kampung Sungai Berua, Terengganu terletak di pedalaman iaitu kira-kira 21-kilometer dari Bandar Kuala Berang dan 66-kilometer dari bandar Kuala Terengganu. Perkampungan mereka telah dilengkapi kemudahan asas dan boleh dihubungi dengan jalan tar berturap. Semua penduduk perkampungan orang Asli di Sungai Berua tinggal di dalam rumah yang disediakan oleh pihak kerajaan. Sebanyak kira-kira 100 buah rumah telah dibina oleh pihak kerajaan kepada mereka.

Sejarah dan Budaya

Kenyir Geopark berada di dalam daerah Hulu Terengganu, dikenali sebagai Foloan pada anad ke-12, daerah ini pernah menjadi sebuah bandar pelabuhan yang menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari segenap pelusuk Alam Melayu, Timur Tengah dan China bagi menjalankan kegiatan ekonomi. Hulu Terengganu juga terbukti sebagai tempat terawal menerima Agama Islam di semenanjung Tanah Melayu berdasarkan catatan pada Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303 M (702 Hijrah) yang dijumpai di Kampung Buloh, Hulu Terengganu. Selain itu, pembinaan Tasik Kenyir pada tahun 1986 juga memberi impak kepada masyarakat Hulu Terengganu dari segi ekonomi dan sosial. Tasik ini dibina khusus untuk empangan bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik ke seluruh negara, telah mewujudkan ekosistem yang unik di mana puncak-puncak gunung dan bukit bukau menjadi pulau manakala dahan pepohonan menjadi cerucuk seni semula jadi yang menghiasi pemandangan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara ini.

Zon Bebas Cukai

Tasik Kenyir telah diwartakan sebagai Zon Bebas Cukai pada 27 Januari 2017 dan berkuatkuasa pada 1 Februari 2017. Pewartaan ini melibatkan kawasan seluas 65,650 hektar merangkumi kawasan badan air, 339 buah pulau dan Pengkalan Gawi. Selaras dengan pewartaan ini, KETENGAH telah dilantik sebagai Pihak Berkuasa Zon (PBZ) bagi Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir.

Bidang Kuasa KETENGAH sebagai Pihak Berkuasa Zon

  1. Kelulusan aktiviti di kawasan ZBTK
  2. Kebenaran memajak serta kebenaran menggunakan harta dalam kawasan zon
  3. Kebenaran untuk kemasukan dan bermastautin
  4. Penyingkiran barang-barang tertentu dan memberhentikan aktiviti
  5. Pengenaan caj berkenaan setiap pengisytiharan yang diluluskan di bawah Peraturan-peraturan Zon Bebas

Sosioekonomi

Keunikan ekosistem Kenyir Geopark telah menjadikan aktiviti pelancongan sebagai aktiviti sosioekonomi utama. Aktiviti pelancongan tidak terhad kepada keunikan tasik tersebut, malah ciri geologi, biodiversiti dan budaya telah menjadikan Geopark Kenyir sebagai eko pelancongan. Bagi komuniti orang asal, aktiviti sosioekonomi banyak tertumpu kepada sumber hutan seperti memburu, mengumpul dan mengumpul hasil hutan. Penjualan sumber hutan seperti rotan, gaharu dan rebung antara sumber utama pendapatan mereka.Selain daripada itu, aktiviti pertanian juga merupakan salah satu aktiviti sosioekonomi bagi penduduk setempat dan komuniti orang asal.

Rangkaian Pengangkutan

Tasik Kenyir boleh dilawati dengan mudah melalui jalan darat dan air. Lapangan terbang terdekat, Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, terletak kira-kira 80 km daripada Pengkalan Gawi, pintu masuk utamanya. Jarak dari Kuala Lumpur pula adalah kira-kira 500 km melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT).